DUNIA
Menteri Israel tegaskan akan bina “negara Yahudi Israel” di Tebing Barat

Penempatan haram Israel di atas bukit bersebelahan dengan perkampungan Bruqin di Tebing Barat, yang menurut penduduk telah diserang oleh peneroka Israel pada waktu malam. - Gambar AP
BAITULMAQDIS: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pada Jumaat menegaskan, negaranya akan membina sebuah “negara Yahudi Israel” di wilayah Tebing Barat yang diduduki, sehari selepas kerajaan mengumumkan pembinaan 22 penempatan baharu di kawasan tersebut.
Penempatan haram Israel di Tebing Barat yang dilihat sebagai halangan utama kepada perdamaian jangka panjang sering dikecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana melanggar undang-undang antarabangsa.
Pengumuman terbaharu ini turut menerima kritikan keras daripada masyarakat antarabangsa.
“Kami memberi respons tegas kepada organisasi pengganas yang cuba melemahkan pegangan kami ke atas tanah ini - dan ini juga mesej jelas kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan sekutunya: mereka akan mengiktiraf negara Palestin di atas kertas - tetapi kami akan membina negara Yahudi Israel di bumi ini,” kata Katz dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya pada Jumaat.“Kertas itu akan dibuang ke tong sampah sejarah, manakala negara Israel akan terus berkembang dan makmur,” tambahnya.
Kenyataan itu dibuat ketika Katz melawat pos penempatan Sa-Nur di utara Tebing Barat.
Penempatan tersebut sebelum ini dikosongkan pada tahun 2005 sebagai sebahagian daripada pelan penarikan keluar Israel dari Gaza yang dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri, Ariel Sharon.
Israel telah menduduki Tebing Barat sejak tahun 1967.
Dalam lawatannya ke Singapura pada hari sama, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengulangi bahawa pengiktirafan negara Palestin - dengan beberapa syarat - adalah “bukan sahaja satu kewajipan moral, malah satu keperluan politik.”
Sebuah persidangan antarabangsa yang bertujuan menghidupkan semula cadangan penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin dijadual berlangsung pada bulan depan di Ibu Pejabat PBB di New York.
Seorang diplomat di Paris yang terlibat dalam persediaan persidangan itu memaklumkan, ia bertujuan membuka jalan bagi lebih banyak negara mengiktiraf negara Palestin.
Macron sebelum ini menyatakan pada April lalu bahawa Perancis mungkin akan mengiktiraf negara Palestin pada bulan Jun.
Sementara itu, susulan pengumuman Israel mengenai penempatan baharu pada Khamis, Britain menyifatkannya sebagai “halangan sengaja” terhadap penubuhan negara Palestin.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pula berkata, tindakan Israel itu membawa usaha penyelesaian dua negara ke “arah yang salah.” - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami